Dolar Aussie Kekal Berkuasa, BOC Pula Jadi Fokus Pasaran Sesi New York!

175

Dolar Aussie terus menerajui pasaran mata wang pada sesi Eropah dengan mengukuh ke paras ketinggian 5 bulan berbanding greenback.

Ini susulan bacaan mengejutkan dalam data inflasi pengguna tahunan Australia yang melonjak ke tahap tertinggi baharu 33 tahun pada suku keempat kepada 7.8%.

Ekoran itu, pelabur menjangkakan kenaikan kadar faedah lebih tinggi daripada Reserve Bank of Australia (RBA) pada mesyuarat yang akan berlangsung pada 7 Februari.

Sementara kebanyakan mata wang utama lain pula tidak banyak mempamerkan perubahan, termasuk US dolar yang terus bergerak mendatar.

Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan mata wang utama, diniagakan berlegar sekitar paras terendah di bawah 102.00.

Mata wang euro pula sedikit meningkat selepas data indeks iklim perniagaan Jerman tinjauan Ifo menunjukkan peningkatan sederhana pada bulan Januari.

Ahli ekonomi Ifo, Klaus Wohlrabe menyatakan pandangan optimisnya mengenai kemungkinan kemelesetan tidak akan berlaku di Eropah walaupun ekonomi dijangka menguncup sedikit pada suku pertama.

Beralih kepada dagangan pound, mata wang itu diniagakan mendatar setelah kembali stabil susulan kejatuhan yang dicatatkan ekoran data perkhidmatan dan pembuatan yang suram di UK.

Tumpuan pasaran seterusnya beralih kepada mesyuarat polisi Bank of Canada (BOC) yang akan berlangsung pada sesi New York, di mana bank pusat itu dijangka akan menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas.

Dolar Kanada didagangkan stabil pada paras tertinggi satu bulan berbanding US dolar menjelang mesyuarat tersebut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat