US dolar mengekalkan pergerakan suram dan bercampur pada dagangan Khamis semalam khususnya di sesi New York dengan kewaspadaan pelabur menjelang laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) pada hari ini (Jumaat).
Petunjuk awal pada laporan pekerjaan ADP yang diterbitkan pada Rabu mencatatkan pertambahan yang perlahan untuk sektor swasta di AS pada bulan Mei lalu.
Ini mencetuskan kebimbangan bahawa laporan NFP untuk Mei berkemungkinan catat bacaan yang merosot juga seperti April yang lepas.
Tekanan juga buat Federal Reserve (Fed) untuk penetapan dasar monetari mereka apabila European Central Bank (ECB) terlebih dahulu melaksanakan pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat polisi yang berlangsung semalam.
ECB mengikuti jejak langkah bank pusat Kanada (BOC) yang turut memulakan kempen pelonggaran dasar itu pada Rabu lalu.
Mata wang Euro walau bagaimanapun tidak menunjukkan reaksi negatif yang dijangka untuk alami kejatuhan selepas pengumuman kadar faedah tersebut.
Sebaliknya, Euro sedikit kukuh berbanding US dolar ketika ucapan susulan yang disampaikan oleh Presiden ECB Christine Lagarde bernada yang agak hawkish.
Lagarde menjangkakan ekonomi Eropah akan terus memulih yang bakal disokong oleh peningkatan pekerjaan dan pendapatan.
Tambah beliau lagi, inflasi diramalkan untuk turun ke paras sasaran menjelang separuh tahun kedua 2025.
Tumpuan pasaran di penghujung minggu ini akan terarah pula kepada laporan data pekerjaan NFP AS untuk Mei yang akan menjadi petunjuk penting buat Fed.
Ini akan menjadi gelora awal buat pasaran sebelum pada minggu hadapan pula pelabur akan berdepan laporan data inflasi AS dan juga mesyuarat FOMC edisi Jun 2024.