Ekonomi UK Menjunam, Catat Penguncupan Terbesar Sejak Krisis Kewangan

329

Pertumbuhan GDP UK dilaporkan telah mengalami penguncupan sebanyak 2% pada suku pertama tahun 2020 setelah tidak menunjukkan sebarang pertumbuhan pada suku terakhir 2019, menurut bacaan awal yang diterbitkan oleh Pejabat Perangkaan UK (ONS) pada hari ini.

Ini merupakan penguncupan paling ketara yang pernah dicatatkan sejak suku keempat 2008 berikutan perlaksanaan perintah berkurung sehingga memaksa penutupan perniagaan dan aktiviti ekonomi yang lain.

Walaubagaimanapun, angka yang dicatatkan adalah lebih baik daripada jangkaan pasaran untuk menguncup sebanyak 2.5%.

Sementara secara bulanan, ekonomi UK telah menguncup sebanyak 5.8% pada bulan Mac daripada penguncupan 0.1% pada Februari, jauh lebih baik daripada unjuran pasaran untuk mengalami penyusutan ketara 7.9%. Ini merupakan kejatuhan bulanan terbesar yang pernah direkodkan dalam sejarah tinjauan yang bermula sejak 1997.

Tambahan daripada itu, data Pembuatan dan Pengeluaran Industri UK juga menunjukkan bacaan yang melebihi jangkaan pasaran dengan masing-masing mencatat penguncupan sebanyak 4.6% dan 4.2% pada bulan Mac.

Terdahulu, Perdana Menteri UK Boris Johnson telah mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara berkuatkuasa pada 23 Mac dalam usaha untuk membendung penularan pandemik coronavirus yang telah menjangkiti lebih 227,000 orang di negara itu, menurut data daripada Johns Hopkins University.

Pada minggu lalu, Bank of England (BOE) menjangkakan GDP UK secara keseluruhannya akan mengalami kejatuhan sebanyak 14% pada tahun 2020, dipacu oleh penyusutan 25% pada suku kedua.

Sekiranya hal ini berlaku, ia akan menjadi kejatuhan tahunan terbesar sejak tahun 1706, menurut BOE. Bagaimanapun, dengan jangkaan pelonggaran sekatan akan dilaksanakan, BOE meramalkan kejatuhan dalam GDP UK adalah bersifat sementara yang kemudiannya akan disusuli oleh pemulihan yang cepat pada tahun 2021.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat