Ekuiti Tempatan Terus Saksikan Aliran Keluar Pelabur Asing

379

Malaysia terus menyaksikan penjualan ekuiti oleh pelabur asing pada minggu lepas, mendorong aliran keluar bersih asing meningkat kepada RM211 juta daripada RM46.4 juta minggu sebelumnya.

Memetik laporan aliran dana mingguan MIDF Research, jualan bersih oleh pelabur telah berlaku hampir setiap hari pada minggu lepas, kecuali hari Khamis yang melihatkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM38.5 juta.

Antara kaunter yang dibeli adalah Maybank (RM16.9 juta), Top Glove (RM9.9 juta), IHH Healthcare Bhd (RM9.8 juta) dan Inari Amertron Bhd (RM8.2 juta).

Bagaimanapun, penjualan kembali bersambung pada hari Jumaat susulan data yang memaparkan kemerosotan dalam pertumbuhan perdagangan sebanyak 14.5% tahun ke tahun pada bulan April.

Data yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia itu juga menunjukkan eksport domestik yang lebih rendah menjadi punca utama kepada kejatuhan tersebut.

MIDF mengatakan pelabur asing telah menjadi penjual bersih ekuiti Malaysia selama 14 daripada 20 minggu tahun ini, menjadikan jumlah aliran keluar asing bersih sebanyak RM2.39 bilion.

Sementara itu, pelabur institusi tempatan dikatakan terus menjadi pembeli bersih untuk minggu keempat berturut-turut dengan peningkatan RM355.6 juta pada minggu lalu.

Difahamkan, mereka telah menjadi pembeli bersih selama 15 daripada 20 minggu tahun ini dengan jumlah aliran masuk bersih RM2.45 bilion.

Namun, firma penyelidikan itu juga melaporkan jualan bersih berterusan oleh peruncit tempatan untuk minggu ketiga berturut-turut yang berjumlah RM144.6 juta.

Peruncit tempatan telah menjadi penjual bersih selama 11 daripada 20 minggu, menghasilkan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM51.2 juta setakat ini.

Tambahnya lagi, dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan; peruncit (4.8%), institusi tempatan (5.6%) dan warga asing (10.5%).

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat