Emas Didagangkan Melonjak, Adakah Peningkatan Ini Akan Berterusan?

827

Sentimen pasaran yang masih berisiko telah mendorong dagangan emas untuk terus mencatat pengukuhan sehingga mencecah paras harga $1,680 pada sesi Asia sebelum kembali susut untuk diniagakan di sekitar paras $1,670.

Dengan peningkatan sebanyak 5.8% pada minggu ini, logam berharga itu bakal merekodkan keuntungan mingguan terbaiknya sejak Oktober 2011.

Kebimbangan pasaran yang semakin meningkat bahawa wabak coronavirus berpotensi untuk menjadi pandemik (penularan penyakit ke rantau lebih besar atau seluruh dunia) dan menjejaskan ekonomi global telah mendorong pelabur untuk mendapatkan aset selamat.

Mengikuti perkembangan terkini wabak coronavirus, jumlah kes jangkitan telah meningkat kepada 98,428 manakala angka kematian yang dilaporkan pula sebanyak 3,386 nyawa di seluruh dunia.

Turut menyokong dagangan logam kuning adalah jangkaan bahawa Federal Reserve AS (Fed) akan menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas untuk kali kedua pada mesyuarat polisi yang dijadualkan berlangsung pada 17-18 Mac.

Presiden Fed New York, John Williams dalam kenyataan terbaru beliau pagi tadi, memberitahu kesediaan mereka untuk melakukan lebih banyak pelarasan dengan bank-bank pusat di seluruh dunia dalam usaha untuk melindungi ekonomi global daripada risiko coronavirus.

Jangkaan yang semakin meningkat ini turut mendorong kejatuhan hasil bon perbendaharaan AS 10 tahun sehingga mencecah paras terendah terbaru pada 0.82% manakala hasil bon 30 tahun pula direkodkan pada 1.42%.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat