Perkhabaran positif daripada Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengheret dagangan komoditi emas dengan kejatuhan ketara sehingga menembusi bawah paras harga $1,900 per auns pada sesi Asia hari ini.
Putin mengumumkan bahawa Rusia berjaya menjadi negara pertama di dunia yang memberikan kelulusan terhadap vaksin Covid-19, walaupun pada hakikatnya percubaan fasa ketiga masih belum selesai.
Namun begitu, kemerosotan yang dialami oleh dagangan logam berharga ini kelihatannya tidak berpanjangan apabila ia kembali mencatatkan peningkatan ketika bermulanya sesi pasaran Eropah.
Logam kuning itu didagangkan meningkat di sekitar paras harga $1,933 per auns, sementara niaga hadapan emas pula di sekitar $1,940 per auns (3.45 petang waktu Malaysia).
Kenaikan semula dagangan emas kuning ini berkemungkinan dipengaruhi oleh data ekonomi yang diterbitkan di Eropah sebentar tadi, yang mana ia menunjukkan ekonomi Britain jatuh ke lembah kemelesetan pada suku kedua tahun ini disebabkan penutupan Covid-19.
Dengan penguncupan besar yang dipaparkan oleh ekonomi di Britain, pelabur mungkin bimbang terhadap prospek pertumbuhan global secara meluas sehingga mendorong mereka untuk mendapatkan semula pegangan terhadap safe-haven emas.