Emas Tepati Ramalan Pasaran, Melonjak Menuju $2,400 Selepas Laporan CPI AS

420

Emas melanjutkan aliran kenaikannya sejak hujung minggu lepas dengan mencecah paras tertinggi bulanan pada $2,390 selepas data yang didedahkan oleh Biro Statistik Buruh AS (BLS) berkenaan inflasi yang semakin susut.

Senario ini meningkatkan lagi jangkaan kemungkinan untuk Federal Reserve (Fed) melakukan pemotongan kadar faedah pada 2024.

Selain itu, hasil bon Perbendaharaan AS juga menjunam dan mata wang dolar AS jatuh ke paras terendah lima minggu seperti yang digambarkan oleh Indeks Dolar AS (DXY) pada 104.118 mata.

Harga emas kini berada pada paras $2,394.72 iaitu naik sebanyak 8.94 mata (0.38%) sejak ia dibuka pada awal sesi dagangan Asia pagi tadi.

Walaupun data CPI masih di atas paras 3% pada tahunan, inflasi pengguna dilihat perlahan pada carta bulanan dan membantu mengurangkan tekanan ke atas Fed. Hasil Perbendaharaan AS di sepanjang lengkungan pasaran masih menyelam antara 8 dan 10 mata asas.

Dalam situasi pasaran terkini, pegawai-pegawai Fed terus menjadi topik utama dalam kalangan peserta pasaran. Presiden Fed Minneapolis, Neel Kashkari berkata bahawa hutang kerajaan yang lebih tinggi bakal berpotensi meningkatkan lagi kos pinjaman dalam tempoh terdekat untuk mencapai inflasi 2%.

Katanya lagi, beliau terkejut dengan laporan perbelanjaan pengguna dan menimbulkan tanda tanya bahawa sejauh mana dasar monetari ini mampu menghalang?

Dari sudut teknikal pula, harga emas meneruskan lonjakan harganya untuk tiga hari berturut-turut namun ia masih belum berani untuk melepasi paras halangan $2,400. Selepas ia melepasi posisi tertinggi 10 Mei pada $2,378, pasaran meramalkan sasaran seterusnya adalah menghampiri ATH.

Jika berlaku aliran sebaliknya, ia mampu mengheret semula harga di bawah $2,359 yang merupakan posisi bertahan pada minggu lepas dan menuju ke paras terendah 9 Mei iaitu $2,306 diikuti seterusnya $2,300.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat