Seperti dijangkakan pelabur, dagangan emas mula paparkan corak pergerakan rancak selepas mesyuarat FOMC berlangsung awal pagi tadi.
Sebelum ini emas didagangkan pada julat yang perlahan menunggu keputusan mesyuarat terakhir 2024 ini setelah kejatuhan harga telah bermula pada penghujung minggu lepas lagi.
Persoalan terjawab dengan Federal Reserve (Fed) tepati ramalan untuk menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas dari 4.75% kepada 4.50%.
US dolar ketara mengukuh setelah Pengerusi Fed Jerome Powell beri isyarat untuk memperlahankan pelonggaran dasar monetari dengan menilai ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang masih kukuh.
Pengukuhan ketara US dolar itu juga bukan sahaja menekan mata wang utama yang lain dalam pasaran, malahan turut mengheret jatuh emas ke paras terendah 4 minggu.
Memerhati carta XAU/USD yang mengukur nilai emas berbanding US dolar, harga yang perlahan di sekitar 2650.00 menjunam menembusi 2600.00 ketika reaksi mesyuarat FOMC awal pagi tadi.
Mencecah paras sekitar 2582.00, harga beransur pulih di awal sesi Asia pagi ini (Khamis) ke ketinggian sekitar 2620.00 semula bersambung ke dagangan sesi Eropah.
Harga kekal bergerak di bawah garisan halangan Moving Average 50 (MA50) memberi isyarat untuk trend bearish diteruskan di samping momentum terjunan sebelumnya.
Sekiranya susut di bawah zon 2600.00, berkemungkinan besar harga akan jatuh lebih rendah dari kejatuhan sebelum ini seterusnya mencatatkan paras terendah terbaru lagi.
Sasaran terhampir dilihat pada sekitar zon 2550.00 hingga 2530.00 yang menjadi zon tumpuan diuji pada dagangan November lalu.
Namun jika situasi menuju penghujung minggu ini menyaksikan perubahan arah harga semula, tidak mustahil pelabur menyaksikan harga pulih lebih tinggi dari kejatuhan yang dipaparkan.
Melepasi halangan MA50 boleh menyokong pendakian harga menuju semula zon sekitar 2650.00 dan 2670.00.
See the XAU/USD price chart image below for your technical analysis reference.