Tumpuan pasaran sepenuhnya akan terarah kepada mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis nanti dengan pelbagai spekulasi dan pandangan-pandangan pakar mencuri perhatian pelabur.
Antaranya adalah pandangan dari seorang figura terkenal dalam dunia pelabur, iaitu Ray Dalio.
Ray Dalio yang merupakan pengasas firma pengurusan aset, Bridgewater Associates turut melontarkan pandangan beliau berkenaan keputusan yang bakal dipilih oleh Federal Reserve (Fed) untuk dasar monetari mereka.
Pasaran terus berteka-teki berkenaan jumlah kadar pemotongan oleh Fed sama ada 25 atau 50 mata asas untuk mesyuarat September.
Ramai yang melihat Fed berkemungkinan melaksanakan pelonggaran dasar yang agresif, namun menurut Dalio dengan menilai keseluruhan situasi ekonomi Amerika Syarikat (AS), Fed sepatutnya perlu menurunkan kadar faedah pada kadar yang rendah.
Dalam usaha untuk mengekalkan kestabilan ekonomi, Fed seharusnya mengekalkan kadar faedah yang tinggi untuk kepentingan kreditor untuk pulangan yang memuaskan.
Namun, jika dilihat dari aspek situasi gadaian yang buruk dan memberi kesan negatif kepada ramai, maka pemotongan 50 mata asas mungkin adalah pilihan yang lebih baik.
Dalio melihat tindakan bank pusat pada mesyuarat ini sama ada pemotongan 25 atau 50 mata asas, tidak akan memberi perubahan untuk jangka masa panjang.
Bukan beliau sahaja, malah CEO JPMorgan Chase & Co Jamie Dimon turut berpandangan pemotongan kadar faedah sama ada 25 atau 50 mata asas oleh Fed dijangka tidak akan membawa impak yang besar.
Majoriti pasaran menjangkakan Fed akan melaksanakan pemotongan kadar faedah pertama mereka dalam tempoh lebih 4 tahun selepas mengekalkan kadar pinjaman di paras tinggi agak lama.