Pasaran kewangan di penghujung minggu kekal berisiko dengan kebimbangan pelabur masih diselubungi dengan risiko kemelesetan ekonomi global.
Mata wang US dolar berjaya mengukuh berbanding beberapa mata wang utama pada sesi New York semalam ketika perhatian diberikan seketika kepada terbitan data mingguan, tuntutan faedah pengangguran Amerika Syarikat (AS).
Jumlah tuntutan pada minggu lepas catat angka yang lebih rendah berbanding ramalan, perlahan berbanding lonjakan pada minggu sebelumnya.
Indeks dolar (DXY) sedikit susut berlegar sekitar 103.200 mata selepas kenaikan sebelumnya mencapai 103.540, sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS berada pada sekitar paras 4.00%.
US dolar kukuh berbanding Euro, namun lemah didagangkan berbanding Pound.
Bacaan akhir bagi data inflasi Jerman akan muncul pada pembukaan sesi Eropah hari ini (Jumaat) dilihat bakal mempengaruhi pergerakan Euro.
Antara lain data yang menjadi tumpuan pelabur hari ini adalah data inflasi pengguna dan pengeluar China di sesi Asia.
Di sesi New York pula, data pekerjaan Kanada akan diterbitkan dan akan pengaruhi mata wang Loonie sebelum dagangan minggu ini melabuhkan tirai.
Pertambahan pekerjaan di Kanada pada Julai dijangka positif namun kadar pengangguran diramalkan meningkat.
Mata wang Yen didagangkan lebih mendatar pada minggu ini dengan prestasi agak merosot berbanding corak pengukuhan yang telah dipaparkan beberapa minggu sebelum ini.