Emas turun sedikit sejak penghujung sesi dagangan Asia semalam selepas berjaya mencipta rekod tertinggi baharu melebihi $2,300. Ia melonjak tinggi disebabkan oleh berlakunya kelemahan ke atas mata wang dolar AS selepas PMI untuk Mac mencatatkan penyusutan.
Sementara itu, harga emas kini berada pada paras $2,270.39 iaitu susut sebanyak 0.90% sejak pembukaan dagangan awal pagi tadi.
Indeks Dolar AS (DXY) dilihat melanjutkan penurunannya berbanding enam mata wang utama dunia kepada 104.00 mata. Hasil Perbendaharaan AS untuk 10 tahun jatuh kepada 4.34% di saat ekonomi AS masih optimis.
Walau bagaimanapun, pasaran mula menurunkan harapan mereka untuk Federal Reserve (Fed) melonggarkan pendirian kadar faedahnya dalam mesyuarat Jun nanti.
CME FedWatch menunjukkan bahawa para pelabur kini menetapkan peluang penurunannya sebanyak 58% untuk Jun berbanding 70% pada minggu lepas.
Seterusnya, pasaran kekal menantikan laporan Non-Farm Payrolls (NFP) AS untuk Mac yang akan diterbitkan pada jam 8.30 malam ini.
NFP AS dijangka memaparkan keputusan 200,000 ke atas peluang pekerjaan baharu sepanjang bulan itu. Ia lebih rendah daripada bacaan sebelumnya iaitu 275,000.
Kadar Pengangguran pula dijangka kekal stabil pada 3.9% dan Purata Perolehan Setiap Jam yang mengukur pertumbuhan gaji serta inflasi dijangka meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 4.1% daripada 4.3% pada sebelumnya.
Pertumbuhan gaji yang teguh dan peningkatan dalam laporan permintaan buruh boleh melemahkan lagi jangkaan pemotongan kadar Fed untuk Jun.
Senario pada penghujung minggu ini berkemungkinan akan memberi kesan negatif ke atas hasil AS dan berkemungkinan membantu harga emas untuk naik lebih jauh.