Emas menawan kembali puncak tertinggi baharunya pada $2,531 semasa dagangan Selasa selepas beberapa faktor penting iaitu China mula menguatkan permintaan, kedudukan USD melemah dan konflik geopolitik di Timur Tengah.
Sekaligus ini menjadi rekod tertinggi terbaru dalam sejarah untuk emas.
Tepat jam 9.20 pagi, harga emas berada pada $2,513.65 iaitu kekal sejak ia dibuka pada awal dagangan Asia hari Rabu.
Jangkaan harga logam kuning untuk berlaku pembetulan meleset selepas ia teruskan aliran meningkat apabila permintaan daripada People Bank of China (PBoC) mencetuskan gelombang permintaan baharu.
Permintaan terhadap aset selamat terus meningkat selepas hasil Bon Kerajaan 10 tahun China jatuh ke paras terendah minggu lalu dan menyebabkan para pelabur China mencari tempat perlindungan.
Selain itu, emas turut meningkat apabila mata wang dolar AS (USD) merudum ke paras terendah lapan bulan di mana Indeks Dolar (DXY) jatuh kepada 101.76 mata semasa di awal dagangan.
Logam kuning berharga itu juga mencatatkan permintaan selepas percubaan untuk mencapai perjanjian damai di Timur Tengah yang diterajui oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken gagal kerana Israel didakwa menetapkan perjanjian berat sebelah.
Terkini, serangan habis-habisan Iran terhadap Israel juga kekal sebagai faktor risiko overhead.