Dagangan US dolar jatuh mencecah ke paras terendah 2 minggu, namun dilihat kembali pulih semula di sesi New York semalam.
Pada awal pagi Khamis lalu, pasaran memberi reaksi terhadap Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell yang mengulangi kenyataannya yang bernada dovish sehingga mencetuskan penyusutan semula US dolar.
Selain itu, kenyataan dari beberapa ahli Fed yang lain turut sama diperhatikan para pelabur.
Ahli Fed Barkin (Richmond) mencadangkan bank pusat untuk berhati-hati untuk menurunkan kadar faedah dan beliau masih optimis untuk dasar sedia ada dikekalkan dengan objektif mencapai sasaran inflasi.
Menurut ahli Fed Goolsbee (Chicago) pula, beliau yang sebelum ini melihat 2 kali penurunan kadar faedah untuk dilaksanakan mula meragui sama ada langkah tersebut patut dilaksanakan ataupun tidak berdasarkan penilaian terhadap inflasi semasa.
Ahli Fed Mester (Cleveland) melihat kemungkinan pemotongan kadar akan ditangguhkan untuk tahun ini manakala Fed Kashkari (Minneapolis) pula berpandangan bank pusat mungkin tidak akan menurunkan kadar pada tahun ini jika inflasi kekal mendatar.
Pelabur akan meninjau petunjuk terbaru di penghujung minggu ini menerusi laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) untuk bulan Mac.
Berdasarkan ramalan data, pertambahan pekerjaan berkemungkinan sedikit lemah berbanding Februari namun purata pendapatan dijangka untuk meningkat.
Sementara, kadar pengangguran di AS diramalkan kekal di paras 3.9%.
Pergerakan drastik harga pada carta-carta utama melibatkan pasangan mata wang US dolar dijangkakan berlaku berikutan impak reaksi laporan tersebut diterbitkan.