“Haih bagi harapan palsu betullah, pemegang tegar XRP baru nak happy.”
Mata wang kripto Ripple (XRP) merudum semula sehingga $0.54 sejurus selepas Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) membatalkan mesyuarat tertutup kritikal yang paling ditunggu-tunggu ramai orang.
Diperjelaskan lebih lanjut, kedua-dua pihak tersebut dijadualkan untuk bertemu pada minggu ini tetapi SEC yang menangguhkan rancangan itu telah menyebabkan para pelabur bimbang hari penyelesaian 31 Julai 2024 yang diramalkan menjadi persoalan.
Setelah sekian lama terperangkap pada paras $0.5 bagi sebahagian besar tahun ini, harga XRP akhirnya berjaya mencanak 50% sejak awal bulan sebelum merosot kembali disebabkan tuntutan SEC yang masih tidak mencapai penyelesaian sepenuhnya.
Namun masih ada pihak mempersoalkan kepentingan mesyuarat dibatalkan tersebut, di mana bekas peguam SEC Marc Fagel berkata kedua-dua pihak sudah mengadakan kira-kira 150 mesyuarat sejak kes itu bermula.
Sungguhpun SEC tidak menyatakan sebab menyuarat itu dibatalkan, Ripple yang sungguh optimis telah berkata bahawa pasaran kripto boleh menjangkakan penyelesaian tidak lama lagi biarpun garis masa masih tidak pasti.
Pada sisi berbeza, Apple dan Ripple telah bekerjasama bagi mencipta produk dengan ciri “Tap to Pay” baharu yang akan membenarkan pengguna iPhone menjalankan transaksi secara lancar merentas peranti.
Setakat penulisan ini, harga XRP menjunam sebanyak 8.98% pada paras $0.55 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran lebih $30 bilion tetapi tetap merekodkan pendakian 22.17% sepanjang minggu lepas.