OPEC+ memilih untuk mengekalkan pemotongan bekalan minyak mentah untuk separuh pertama tahun ini bagi memastikan pasaran global ketat dan berpotensi untuk melonjakkan harganya lebih tinggi.
Arab Saudi mencadangkan agar tiada perubahan dasar pada mesyuarat semakan dalam talian pada Rabu. Ini bermakna kira-kira dua juta tong sehari bakal disekat pengeluarannya sehingga akhir Jun ini.
Pemotongan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan rakan sekutunya (OPEC+) telah melonjakkan harga minyak mentah kepada hampir $90.00 per tong di London dan mengheretnya ke paras tertingginya pada tahun ini.
Ia juga turut disokong oleh konflik yang berterusan di Timur Tengah dan perang Rusia-Ukraine yang semakin menjadi-jadi.
Hasil sekatan itu, OPEC+ dilihat bersedia untuk memastikan pasaran minyak global kekal dalam defisit rendah pada suku kedua. Kekurangan itu boleh menyebabkan harga minyak mencanak naik ke paras $100 per tong.
Perkara ini bakal menimbulkan rasa ketidakselesaan dalam kalangan pengguna kerana ramai yang merasakan kadar inflasi semakin meningkat dari tahun ke tahun dan ini akan merumitkan tugas bank pusat dalam melonggarkan dasar monetarinya.
Walau bagaimanapun, Arab Saudi dan sekutunya merasakan ia satu peluang untuk meningkatkan pendapatan kerajaan sepanjang tahun ini.
Menurut bekas Penasihat White House, Bob McNally berkata pasaran bekalan minyak mentah global masih berada pada landasan yang kukuh dan itu tidak akan menjadi isu yang sangat serius.
Selain, beberapa ahli utama seperti Kazakhstan dan Iran tidak melaksanakan pengurangan tersebut. Mereka digesa untuk mematuhi ketetapan tersebut sebagai ahli OPEC dan diminta untuk mengemukakan rancangan terperinci mengenai perkara ini pada mesyuarat April nanti.