Pergerakan pasaran di awal minggu telah dijangka perlahan dengan Amerika Syarikat (AS) juga bercuti sempena Columbus Day sementara pelabur kekal berwaspada memerhati faktor-faktor semasa yang sedang mempengaruhi pasaran.
US dolar dilihat masih lagi mengekalkan prestasi dagangan yang baik dari momentum sebelum ini, berlegar di paras tertinggi 10 minggu.
Data-data ekonomi semasa AS dilihat mengurangkan jangkaan untuk pelonggaran agresif diteruskan oleh Federal Reserve (Fed) seperti yang telah dilakukan pada mesyuarat September.
Namun, pasaran masih menjangkakan pemotongan kadar faedah untuk berlaku pada baki mesyuarat di penghujung 2024 ini, tetapi dengan pemotongan yang lebih perlahan.
Perkembangan mata wang Eropah, Euro susut ke paras terendah terbaru lagi di awal minggu ini ketika jangkaan pemotongan kadar faedah akan dilakukan oleh European Central Bank (ECB) pada Khamis.
Pound pula berisiko pada dagangan minggu ini berdepan beberapa data tumpuan bank pusat yang bakal diterbitkan.
Tumpuan pada sesi Eropah hari ini (Selasa) terarah kepada data pekerjaan UK sebelum pada Rabu esok, pasaran akan meneliti data inflasi UK yang dijangka catatkan penurunan pada angka terbaru.
Di sesi New York malam ini pula, data inflasi Kanada akan mencuri tumpuan pasaran ketika mata wang dolar Kanada sedang mengalami kejatuhan berterusan sejak minggu lepas yang dipengaruhi oleh pasaran minyak mentah mentah global.
Sementara itu, perkembangan tentang rancangan stimulus China masih lagi menjadi topik bualan hangat dalam pasaran.
Namun pelabur agak kecewa apabila China tidak memberikan butiran lengkap berkenaan rancangan rangsangan ekonomi besar-besaran tersebut.