Ketidaktentuan terus melanda pasaran dengan pergerakan mata wang US dolar yang melawan arus ketika terdapat faktor-faktor yang menyokongnya sebelum ini.
Namun, US dolar paparkan prestasi mengecewakan pada Rabu semalam apabila alami penyusutan lebih ketara di sesi New York.
Meneliti data yang telah diterbitkan, laporan pekerjaan ADP yang mengukur pekerjaan sektor swasta di Amerika Syarikat (AS) catat angka yang lebih tinggi berbanding ramalan dan bulan sebelumnya.
Sementara, data tinjauan ISM untuk sektor perkhidmatan AS diterbitkan dengan angka yang sedikit menurun bagi bulan Mac, namun masih berada di atas paras 50 mata.
Penganalisis menilai penyusutan US dolar adalah didorong oleh kenyataan yang telah disampaikan oleh Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell yang menghadiri acara di Stanford Graduate School of Business.
Dalamn ucapan beliau, Powell mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa kadar polisi semasa telah berada di penghujung kitarannya.
Kebanyakan ahli FOMC juga melihat kesesuaian untuk bersedia memulakan langkah pelonggaran dasar pada tahun ini.
Namun, dalam keadaan berjaga-jaga beliau mengatakan untuk ketika ini masih terlalu awal dan bank pusat tidak perlu tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah.
Fed akan menilai data-data yang hadir selepas ini, khususnya pekerjaan dan inflasi, untuk lebih yakin membuat keputusan yang tepat dari mesyuarat ke mesyuarat, sebelum pelonggaran dasar dimulakan.
Antara perkembangan lain dalam pasaran yang menjadi tumpuan adalah dagangan emas yang terus memecah rekod harga paling tinggi dalam sejarah.
Terbaru, harga emas sudah mencapai ketinggian $2,300 dengan momentum masih kukuh untuk kenaikan harga terus berlaku membuatkan pelabur semakin teruja.