Ringgit mencatatkan kenaikan semula dengan dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat didorong oleh sentimen positif menjelang terbitan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2024 Malaysia pada hari ini.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6665/6710 berbanding dolar AS daripada 4.6680/6710 ketika penutup Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pihaknya menjangkakan angka unjuran awal yang akan dikeluarkan hari ini lebih baik daripada pertumbuhan 4.2% yang dicatatkan pada suku pertama 2024.
Katanya lagi, kedudukan angka yang lebih baik daripada KDNK suku pertama akan mendorong ringgit untuk kekal positif sepanjang hari.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) dijadual mengeluarkan unjuran awal KDNK Malaysia bagi suku kedua 2024 pada Jumaat.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Mata wang tempatan lebih kukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9685/9718 daripada 2.9827/9849 ketika ditutup pada Khamis dan meningkat berbanding pound British kepada 6.0413/0471 daripada 6.0628/0667.
Ringgit juga tinggi berbanding euro kepada 5.0856/0905 daripada 5.1021/1054.
Mata wang tempatan juga turut diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean.
Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4716/4754 daripada 3.4807/4832 semasa ditutup semalam dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 288.8/289.2 daripada 288.9/289.2.
Ia juga melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.8927/9119 daripada 12.9750/9887 namun tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.01/8.02 dari semalam. – Bernama