Ringgit catatkan lantunan semula di awal dagangan Selasa dengan dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS kerana prospek penurunan kadar Amerika Syarikat semakin menyerlah.
Tepat jam 10.40 pagi, ringgit sedikit turun pada 4.6770 berbanding USD daripada penutup semalam pada 4.6725 pada Isnin.
Presiden Fed, Jerome Powell dalam kenyataannya Isnin berkata bank pusat tidak akan menunggu lagi inflasi AS mencapai 2% untuk mengurangkan kadar faedahnya.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata potensi penurunan kadar itu akan memberi sokongan kepada ringgit dalam tempoh terdekat dan menjadikan mata wang itu stabil pada paras semasa.
Walau bagaimanapun, cubaan membunuh Donald Trump pada hujung minggu lepas nampaknya meningkatkan peluangnya untuk memenangi pilihan raya Presiden AS pada November.
Katanya lagi, nota Perbendaharaan AS untuk 2 dan 10 tahun meningkat satu dan lima mata asas masing-masing kepada 4.46 peratus dan 4.23 peratus di tengah-tengah kebimbangan bahawa langkah populis Trump akan mengakibatkan defisit fiskal AS yang lebih tinggi.
Sementara itu, ringgit juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9526/9555 daripada 2.9578/9593 pada penutup semalam, meningkat berbanding pound Britain kepada 6.0554/0606 daripada 6.0658/0684 pada Isnin dan meningkat berbanding euro kepada 5.0884/0927 daripada 5.0991/1013.
Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang Asean.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4751/4783 daripada 3.4810/4827 semalam, meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.98/7.99 daripada 7.99/7.99 pada Isnin dan menambah nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 288.7/289.1 daripada 288.9/289.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu susut berbanding baht Thailand kepada 12.9138/9313 daripada penutupan semalam pada 12.9007/9116.