Ringgit meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan berbanding dolar AS dan ia merupakan mata wang utama Asia yang meraih prestasi terbaik pada Jumaat. Dorongan bagi mata wang tempatan itu apabila inflasi AS yang berkurangan terus menyokong misi Fed dalam melaksanakan pemotongan kadar faedah.
Tepat jam 10.40 pagi, ringgit berada pada posisi 4.6680 berbanding USD selepas kukuh sebanyak 0.36% sejak ia dibuka pada dagangan awal tempatan.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Dr Afzanizam berkata bahawa inflasi utama AS dan teras menurun lebih daripada jangkaa pada 3.0% dan 3.3% pada Jun berbanding ramalan iaitu 3.1% dan 3.4%.
Angka itu terus mengukuhkan harapan penurunan kadar faedah di AS yang dijangka berlaku pada September.
Katanya lagi, keputusan Bank Negara Malaysia untuk kekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% memberi sokongan pada ringgit kerana mengurangkan perbezaan kadar faedah dengan Kadar Dana Persekutuan AS.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia lemah berbanding yen Jepun kepada 2.9343/2.9378 daripada penutup semalam pada 2.9003/2.9030, tetapi mengukuh berbanding euro kepada 5.0752/5.0806 daripada 5.0819/5.0862 semalam dan menambah nilai berbanding pound British kepada 6.0285/6.0375. sebelumnya kepada 6.0335/6.0387.
Begitu juga, ringgit kebanyakannya meningkat berbanding mata wang Asean.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4755/3.4795 daripada 3.4774/3.4807 semalam dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 288.2/288.7 daripada 289.2/289.7 sebelumnya.
Unit tempatan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.01/8.03 daripada 8.03/8.05 semalam tetapi susut nilai berbanding baht Thailand kepada 12.9199/12.9391 daripada 12.9184/12.9341.