Baru–baru ini Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meluahkan kekecewaannya terhadap syarikat induk Facebook, Meta dengan menyifatkan syarikat tersebut sebagai ‘tidak berhati perut’ selepas RM 432 juta lesap akibat penipuan melalui platform tersebut tahun ini.
Dalam satu wawancara bersama South China Morning Post. Fahmi menyatakan bahawa kehilangan RM432 juta wang rakyat Malaysia akibat penipuan di Facebook adalah sesuatu yang mengejutkan, namun Meta bertindak seolah-olah tiada apa-apa berlaku dan langsung tidak menunjukkan rasa bersalah.
Beliau mendedahkan bahawa 91% daripada 170,000 permohonan untuk menurunkan iklan penipuan berkait dengan Facebook, menjadikannya sarang utama penjenayah siber.
Fahmi turut menyelar kelewatan Meta menangani aduan, termasuk kes akaun palsu menjual ubat titis mata yang mengambil masa hingga enam bulan untuk diselesaikan.
Walaupun Meta memiliki sumber dan inovasi, Fahmi menyifatkan tindakannya sebagai tidak masuk akal.
Bantahan mereka terhadap pelesenan media sosial pada Januari 2025 pula dianggap sebagai “alasan lemah.”
Kerajaan menegaskan pelesenan ini adalah langkah penting untuk melindungi rakyat daripada penipuan siber.
Namun, setakat ini, Meta masih belum memberikan sebarang komen rasmi.