Pasaran mata wang kembali rancak didagangkan pada Selasa semalam selepas cuti sempena Hari Buruh di Amerika Syarikat (AS) telah mendorong pergerakan perlahan di pembukaan awal minggu.
Tumpuan awal terarah kepada data tinjauan oleh ISM bagi sektor pembuatan AS dengan angka yang diterbitkan kekal di bawah paras 50 mata, menunjukkan penguncupan kekal pada sektor tersebut pada bulan Ogos.
Namun, angka menunjukkan sedikit peningkatan berbanding bulan sebelumnya yang lebih merosot untuk menghampiri paras ramalan yang disasarkan.
US bergerak lemah pada pembukaan sesi New York semalam namun sedikit mengukuh ketika reaksi data tinjauan tersebut diterbitkan pada jam 10 malam waktu tempatan.
Pelabur masih kekal berhati-hati dengan pergerakan semasa US dolar yang berisiko menjelang beberapa data penting komponen pekerjaan AS menuju penghujung minggu.
Data JOLTS akan diperhatikan pada sesi New York malam ini (Rabu) untuk mengukur jumlah tawaran pekerjaan yang dibuka di AS pada Julai.
Data ADP akan menyusul pada Khamis sebelum tumpuan utama akan diberikan kepada terbitan laporan pekerjaan NFP pada Jumaat.
Sentimen pasaran di awal September ini dinilai berisiko dengan aktiviti penjualan rancak pasaran saham, mendorong tarikan terhadap dagangan mata wang safe-haven termasuk US dolar dan Yen ketika ini.
Sementara mata wang berisiko tinggi seperti Pound dan dolar Australia mengalami tekanan, meneruskan corak pergerakan minggu lalu.
Dolar Kanada turut didagangkan lemah ketika pasaran menjangkakan Bank of Canada (BOC) pada mesyuarat polisi terbarunya hari ini bakal menurunkan kadar faedah untuk kali ketiga berturut-turut.