Adakah pelantikan baharu ini bakal mencetuskan revolusi kripto di Amerika Syarikat?
Bakal presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan rancangan untuk melantik Paul Atkins, seorang penyokong tegar mata wang kripto, sebagai pengerusi baharu Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC).
Atkins, bekas pesuruhjaya SEC dan CEO Patomak Partners, dikenali kerana sokongannya terhadap peraturan pasaran yang lebih fleksibel dan inovasi digital.
Trump menggelarkan Atkins sebagai “pemimpin yang diiktiraf” yang dapat dipercayai dalam membina pasaran inovatif dan menerima aset digital untuk memperkukuh ekonomi Amerika.
Pelantikan ini selaras dengan janji Trump untuk menjadikan AS sebagai hab global bagi mata wang kripto, termasuk mencipta “rizab strategik” bitcoin.
Sejak kemenangan Trump pada pilihan raya AS lalu, harga bitcoin terus mencanak naik melepasi $95,000 dan hari ini menjadi sejarah baru apabila harganya telah menembusi paras $100,000!
Atkins, yang pernah menjadi sebahagian daripada penasihat Trump dalam penggal pertamanya, merupakan penyokong kuat kripto melalui kumpulan seperti Token Alliance.
Pelantikannya menandakan perubahan besar dalam peraturan kripto AS, yang disambut baik oleh pemain industri.
Langkah Trump ini juga memberi isyarat bahawa mata wang kripto bakal menjadi aset utama ekonomi global, sekali gus mengubah cara dunia melihat kripto sebagai alat pelaburan masa depan.