Pergerakan pasaran pada pembukaan awal minggu Isnin semalam kekal bercampur menyaksikan perubahan pada nilai dagangan US dolar.
US dolar melemah sehingga ke pembukaan sesi New York semalam, namun menuju ke penghujung sesi dilihat beransur memulih semula seperti corak pergerakan pada Jumaat lalu.
Pelabur pada minggu ini berwaspada menantikan terbitan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang akan menjadi petunjuk penting kepada Federal Reserve (Fed) menjelang mesyuarat FOMC pada minggu hadapan.
Pada Jumaat lalu, laporan data pekerjaan NFP AS telah diperhatikan. Pertambahan pekerjaan pada November meningkat mengatasi ramalan mencerminkan kesihatan sektor buruh yang kukuh.
Namun, kadar pengangguran yang meningkat berbanding ramalan untuk kekal seperti sebelum ini, masih membuka ruang untuk Fed melanjutkan pemotongan kadar faedahnya.
Selain data inflasi Amerika, tumpuan pasaran pada minggu ini juga banyak terarah pada keputusan mesyuarat polisi bank-bank pusat utama termasuk Reserve Bank of Australia (RBA), Bank of Canada (BOC), Swiss National Bank (SNB) dan juga European Central Bank (ECB).
Di sesi Asia pagi ini (Selasa), tumpuan akan diberikan kepada RBA yang dijangka akan masih terus mengekalkan kadar faedah tidak berubah di paras 4.35%.
Kenyataan susulan oleh bank pusat akan menjadi petunjuk penting kepada pelabur untuk menilai sebarang perubahan pada nada terhadap dasar setelah kadar faedah dikekalkan sepanjang tahun 2024 ini.