- USD sambung penyusutan minggu lalu
- Fed Jefferson setuju kadar faedah dikekalkan lebih lama
- Data PPI jadi tumpuan malam ini
Debaran menantikan data petunjuk penting minggu ini iaitu laporan inflasi Amerika Syarikat (AS) memberikan tekanan terhadap dagangan US dolar di awal minggu.
Menyambung corak pada minggu lalu, US dolar meneruskan penyusutan pada Isnin semalam ketika jangkaan awal pasaran terhadap angka data indeks harga pengguna (CPI) AS yang terbaru akan kembali menurun.
Sebelum data tersebut diterbitkan pada Rabu, pelabur akan terlebih dahulu memerhatikan bacaan indeks harga pengeluar (PPI) AS pada sesi New York malam ini.
Dalam pada itu, ucapan oleh ahli-ahli FOMC pada sesi New York semalam turut diberikan perhatian untuk pasaran terus mendalami perjalanan hala tuju dasar monetari Federal Reserve (Fed).
Seperti nada hawkish yang disampaikan oleh Pengerusi Jerome Powell pada minggu sebelum ini bersama-sama ahli Fed yang lain, Timbalan Pengerusi Philip Jefferson semalam juga turut senada dengan pandangan bahawa adalah bersesuaian untuk kadar faedah dikekalkan lebih lama.
Disebabkan itu, pelabur dinasihatkan untuk kekal berhati-hati dengan dagangan US dolar yang berpotensi untuk bergerak pada kedua-dua arah yang berbeza.
Data-data ekonomi AS yang suram mendorong penyusutan US dolar sehingga semalam, namun potensi untuk mengukuh kekal ada dengan nada hawkish oleh ahli-ahli bank pusat.
Kebanyakan mata wang utama di awal minggu sedang memanfaatkan kelebihan untuk meningkat dalam suasana pergerakan suram US dolar.
Namun, sebaliknya yang berlaku pada dagangan emas yang menunjukkan penyusutan nilai dengan menghapuskan keuntungan diraih pada Jumaat dan separuh daripada minggu lalu.
Faktor-faktor semasa yang berlegar dalam pasaran ketika ini dilihat mengurangkan tarikan terhadap aset emas di awal minggu.