Pergerakan hambar pasaran pada Rabu semalam membuatkan pelabur terus berhati-hati menyaksikan mata wang US dolar paparkan prestasi yang bercampur.
Namun, US dolar dilihat masih berjaya mempertahankan pemulihannya selepas alami penyusutan susulan reaksi terhadap laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) di penutup dagangan minggu lalu.
Tumpuan pada sesi New York malam ini pada data tuntutan faedah pengangguran AS untuk pelabur perhatikan angka terbaru bagi jumlah tuntutan minggu lepas selepas lantunan pada minggu sebelumnya.
Peningkatan pada indeks dolar (DXY) terbatas di bawah paras 103.40 mata dan mula menunjukkan penurunan.
Corak kenaikan pada hasil perbendaharaan 10-tahun AS juga mula susut setelah kenaikan sebelum ini mencapai sekitar 3.97%.
Sentimen pasaran yang tak menentu mempengaruhi kewaspadaan pelabur dalam dagangan pada minggu ini.
Kebimbangan terhadap risiko kemelesetan ekonomi global terus membelenggu pasaran dengan kejatuhan pada pasaran bursa seluruh dunia.
Terutamanya Wall Street dan pasaran saham Jepun, pelabur dilihat mengurangkan pegangan aset mencetuskan pelbagai spekulasi buruk ketika ini.
Dasar monetari Federal Reserve (Fed) terus menjadi tumpuan setelah jangkaan semakin tinggi untuk pelonggaran dasar yang lebih agresif dilaksanakan.
Fed dijangka akan memotong kadar faedah sebanyak 50 mata asas susulan tercetus kebimbangan bahawa ekonomi terbesar dunia itu sedang menuju ke arah kemelesetan yang boleh mempengaruhi keseluruhan pasaran global.
Malah, ada pandangan yang mengatakan Fed sudah terlambat untuk melaksanakan pelonggaran dasar akibat kedegilan mereka sebelum ini yang mengekalkan dasar ketat terlalu lama.