Pergerakan mata wang US dolar sepanjang Khamis semalam bercampur-campur merentasi dagangan beberapa sesi.
Pasaran terus menghadam isyarat dovish yang disampaikan oleh Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell selepas pengumuman kadar faedah yang dikekalkan tidak berubah di paras 5.50%.
Powell menunjukkan keterbukaan bank pusat untuk melaksanakan langkah pemotongan kadar faedah seawal September sekiranya inflasi bergerak turun menuju sasaran.
Namun, keputusan mesyuarat selepas ini akan tetap bergantung kepada data-data terbaru yang bakal diterbitkan dengan tumpuan pasaran kini beralih kepada laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) pada sesi New York hari ini (Jumaat).
US dolar paparkan pengukuhan pada sesi Eropah semalam, namun kembali melemah pada pembukaan sesi New York sebelum bertukar kukuh semula menuju penghujung sesi.
Sentimen pasaran yang berisiko dilihat menyokong US dolar untuk mengukuh, namun isyarat dovish Fed pada mesyuarat FOMC memberikan tekanan kepada raja mata wang itu.
Antara tumpuan lain pada Khamis semalam adalah keputusan mesyuarat polisi bank pusat England yang menepati ramalan untuk melaksanakan pemotongan kadar faedah pertama mereka.
Bank of England (BOE0 menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas ke paras 5.00% namun undian oleh ahli MPC tidak begitu jauh dengan 5 undian untuk turunkan kadar sementara 4 mengundi untuk kekalkan kadar.
Bank pusat menyedari bahawa inflasi masih sukar untuk mencapai sasaran namun mereka berpandangan adalah bersesuaian untuk melonggarkan sedikit dasar untuk mengurangkan risiko terhadap pertumbuhan ekonomi.
Penganalisis pasaran melihat BOE berkemungkinan tidak akan terlalu agresif dalam pelonggaran dasarnya dan menjangkakan pemotongan sebanyak 25 mata asas akan dilaksanakan setiap 3 bulan.