Boeing kini mempertimbangkan untuk menjual semula berpuluh-puluh pesawat yang tidak dapat dihantar ke China disebabkan perang tarif antara dua ekonomi terbesar dunia. Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk mengelakkan lebihan inventori seperti yang berlaku semasa krisis perdagangan terdahulu, sekali gus membantu syarikat menjana tunai dan membayar hutang melalui penjualan sebahagian unit perkhidmatan.
Ketika permintaan global terhadap pesawat kekal tinggi, Boeing mengakui banyak pelanggan baru berminat, namun penyesuaian pesawat yang telah dikonfigurasi mengikut spesifikasi asal pelanggan China boleh menelan kos berjuta-juta dolar. Syarikat kini sedang meneroka pasaran alternatif termasuk India, Amerika Latin dan Asia Tenggara, dengan Air India disebut sebagai pembeli berpotensi.
Tiga pesawat model 737 MAX yang dibina untuk syarikat penerbangan China telah dihantar pulang ke AS baru-baru ini, satu daripadanya adalah untuk Air China. Boeing berkata mereka tidak lagi akan membina pesawat untuk pelanggan yang enggan menerima penghantaran, dan sedang mengkaji pilihan untuk memasarkan semula 41 pesawat yang telah siap atau dalam proses pengeluaran.
China, yang juga berdepan tekanan dalam pasaran penerbangannya, dilihat masih memerlukan pesawat baharu, namun rundingan dan pembelian besar kini terhenti akibat ketegangan geopolitik. Dalam masa yang sama, Airbus turut mengintai peluang untuk meraih tempahan besar, dengan perbincangan melibatkan sehingga 500 pesawat walaupun belum dimuktamadkan.