Berikutan kemenangan pilihan raya Presiden Trump pada 5 November, Bitcoin melonjak daripada $70,000 kepada paras tertinggi $109,356 pada hari perasmiannya 20 Januari 2025.
Lonjakan tersebut didorong oleh beberapa langkah pro-kripto oleh Donald Trump seperti menggantikan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC), Gary Gensler kepada peguam bela kripto, Paul Aitkins.
Trump juga mengumumkan rancangannya untuk menghimpunkan timbunan stok Bitcoin di Amerika Syarikat dengan melantik pemodal teroka Silicon Valley, David Sacks sebagai czar kripto pertama dalam pentadbirannya.
Selain itu, beliau juga mendedahkan pada September lalu bahawa keluarganya terlibat dalam pelancaran World Liberty Financial iaitu sebuah usaha kripto yang mereka manfaatkan dari segi kewangan.
Walau bagaimanapun, kitaran lonjakan cemerlang itu tidak akan berterusan untuk tempoh masa yang panjang.
Ada beberapa faktor besar yang memberikan sekatan terpenting buat gergasi kripto tersebut di awal tahun 2025.
Antaranya adalah ancaman tarif Donald Trump yang mencetuskan ketidaktentuan geopolitik dan perdagangan serta menjejaskan keyakinan pelabur.
Selain itu, kemunculan aplikasi chatbot AI China DeepSeek pada akhir Januari yang bakal menggugat kedudukan syarikat-syarikat teknologi di Amerika Syarikat.
Terkini, berita berkenaan skandal penggodaman platform kripto Bybit dengan laporan kecurian $1.5 billion iaitu rekod tertinggi dalam sejarah industri. CEO Bybit memberi jaminan kepada penggunanya bahawa bursa itu telah memperoleh pinjaman bagi menampung kerugian sehinggalah aset tersebut berjaya diperoleh semula.
Walau bagaimanapun, ekosistem kripto yang hanya bergantung pada keyakinan pelabur kekal menjadi cabaran sepanjang masa terutamanya untuk raja kripto tersebut di tahun 2025.