Amerika Syarikat mengumumkan penambahan berpuluh-puluh syarikat teknologi China dalam senarai hitam eksportnya bagi usaha pertama di bawah pentadbiran Donald Trump untuk mengekang usaha kecerdasan buatan dan keupayaan pengkomputeran.
Biro Industri dan Keselamatan di bawah Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat telah menambahkan 80 organisasi ke dalam ‘blacklist’ dengan lebih daripada 50 daripadanya berasal dari China.
Langkah ini menghalang syarikat-syarikat Amerika daripada membekalkan barangan atau perkhidmatan kepada entiti yang tersenarai tanpa memperoleh permit rasmi daripada kerajaan.
Agensi itu juga berkata bahawa syarikat tersebut telah disenarai hitam kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara dan dasar luar Amerika Syarikat.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyekat akses Beijing kepada teknologi pengkomputeran exascale yang mampu memproses jumlah data yang besar pada kelajuan sangat tinggi serta teknologi kuantum.
Sebanyak 27 entiti dari China telah disenarai hitam kerana didakwa memperoleh barangan asal Amerika Syarikat bagi menyokong pemodenan ketenteraan negara itu. Selain itu, tujuh firma turut dikenakan sekatan atas peranan mereka dalam memajukan keupayaan teknologi kuantum China.