Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik Aziz yang juga selaku presiden telah menegaskan penstrukturan syarikat akan bermula pada separuh kedua tahun 2025.
Penstrukturan yang melibatkan semua peringkat termasuk pengurusan atasan itu bertujuan untuk terus mengekalkan daya saing dan menjamin masa depan syarikat ke arah yang lebih baik.
Peralihan berterusan dalam sektor tenaga dan ekonomi global telah mendorong Petronas untuk mengambil langkah tersebut.
Sebuah pasukan khas telah ditubuhkan untuk mengkaji jumlah tenaga kerja yang sesuai dan keputusan kajian tersebut dijangka siap pada pertengahan 2025.
Tengku Taufik memberi jaminan bahawa pekerja yang terjejas akibat perubahan itu akan dilayan secara adil.
Mengulas mengenai perbincangan di antara Petronas dan Petros, beliau menjelaskan bahawa tiada pertikaian yang timbul dan mereka terbuka untuk jalin kerjasama dengan Petros selagi Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipatuhi dalam sebarang bentuk kerjasama.