Sarawak dikejutkan dengan satu berita buruk apabila syarikat gergasi tenaga Amerika Syarikat, ConocoPhillips menarik diri secara mengejut daripada projek mega minyak dan gas laut dalam Salam-Patawali, sekali gus menggugat potensi pelaburan bernilai RM13.7 bilion.
Projek itu, yang diterokai bersama Petronas sejak 2018, sepatutnya menjadi tunjang pengeluaran minyak dan gas sehingga 2067.
Namun menurut sumber industri, ConocoPhillips membuat keputusan menarik diri atas faktor “ketidaktentuan dasar” dan suasana yang tidak menentu susulan pertikaian kuasa antara Petronas dan kerajaan negeri Sarawak.
Penarikan diri ini bukan sahaja menjadi tamparan kepada usaha Sarawak menonjolkan diri sebagai pemain utama dalam sektor tenaga, malah turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur asing lain.
Lebih mengejutkan, syarikat Thailand, PTTEP, dilaporkan sedang menilai semula projek gas Lang Lebah bernilai $6 bilion yang memberi isyarat bahawa semakin ramai pelabur mula mempersoal risiko pelaburan di Sarawak.
Dengan Petros masih dianggap belum setanding dari segi kepakaran teknikal dan rangkaian antarabangsa berbanding Petronas, keyakinan terhadap keupayaan Sarawak untuk mengendalikan projek-projek mega secara berdikari semakin dipersoalkan.
Kini, Sarawak bukan sahaja perlu mencari pengganti bagi meneruskan pembangunan medan Salam-Patawali, tetapi juga perlu membuktikan kepada dunia bahawa konflik politik tidak akan menggagalkan masa depan ekonominya.