Dolar Amerika Syarikat (AS), yang sudahpun lemah akibat ketidaktentuan tarif dan kebimbangan terhadap kemelesetan, dijangka akan terus menyusut nilainya, menurut Ketua Ekonomis Goldman Sachs, Jan Hatzius.
Mata wang utama tersebut telah mengalami penyusutan lebih 4.5% pada April, mencatatkan penurunan bulanan terbesar sejak akhir 2022. Penyusutan ini mencetuskan spekulasi tentang krisis keyakinan terhadap mata wang rizab utama dunia itu.
Sepanjang tahun ini, dolar AS telah jatuh sebanyak 8% berbanding sekumpulan mata wang utama lain. Hatzius menjangkakan penyusutan tambahan boleh memburukkan lagi tekanan harga, terutamanya apabila tarif sedia ada telah pun menyumbang kepada inflasi.
Dalam sebuah rencana, Hatzius menyatakan bahawa dolar yang lemah berpotensi mengurangkan defisit perdagangan AS dan melindungi ekonomi daripada kemelesetan. Namun, beliau memberi amaran bahawa faktor-faktor yang menyebabkan kejatuhan dolar boleh menafikan kesan positif terhadap keadaan kewangan.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan pelabur bukan AS memegang sekitar AS$22 trilion aset AS, yang mungkin merangkumi satu pertiga daripada keseluruhan portfolio gabungan. Separuh daripadanya dipercayai dalam bentuk ekuiti, yang lazimnya tidak dilindung nilai daripada pergerakan mata wang.
Hatzius turut menekankan defisit akaun semasa AS sebanyak AS$1.1 trilion, yang perlu diseimbangkan dengan aliran modal bersih dalam jumlah yang sama setiap tahun. Ini lazimnya dicapai melalui pembelian aset AS oleh pelabur asing dan sebarang penghentian pembelian ini boleh memberi kesan negatif kepada dolar AS.
Namun, impak faktor-faktor ini akan berkurangan sekiranya ekonomi AS terus mengatasi ekonomi negara lain, tetapi perkara itu dilihat tidak mungkin berlaku. IMF baru-baru ini meramalkan pertumbuhan ekonomi AS akan menyusut satu mata peratusan kepada 1.8% pada 2025, berbanding 2.8% tahun lalu.
Walaupun dolar AS dijangka terus lemah, Hatzius tidak percaya ini menandakan kehilangan statusnya sebagai mata wang rizab dunia.