Diam bukan bererti menafikan namun mungkin sebuah strategi besar untuk mengejut dunia.
Buat pertama kali, Korea Utara membuka mulutnya secara rasmi untuk mengakui tindakannya dalam menghantar tenteranya berperang di samping Rusia dalam perang Ukraine-Rusia.
Presiden Korea Utara, Kim Jong Un memuji askar negaranya yang terlibat di dalam peperangan tersebut dengan menggelarkan mereka sebagai ‘wira’.
Pengumuman rasmi itu dibuat selepas pertempuran sengit yang diadakan di wilayah Kursk, Rusia di mana askar Korea Utara dilaporkan ramai yang terkorban namun pantas menyesuaikan diri di medan pertempuran tersebut.
Agensi berita KCNA menyifatkan penghantaran tentera itu sebagai bukti persahabatan ketenteraan yang kukuh antara Pyongyang dan Moscow di bawah perjanjian Kim-Putin yang ditandatangani pada 2024.
Menurut seorang pegawai Ukraine, sekitar 14,000 tentera Korea Utara, termasuk 3,000 pasukan pengganti, telah dihantar.
Rusia juga buat pertama kalinya mengesahkan kehadiran tentera Korea Utara pada Sabtu lalu.
Sementara itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat memberi amaran bahawa penglibatan Korea Utara mesti dihentikan, menegaskan negara yang menyokong Rusia akan dipertanggungjawabkan.
Ketika Ukraine menegaskan tenteranya masih beroperasi di dalam wilayah Rusia, medan perang kini bertukar menjadi lautan darah, dengan semakin banyak nyawa yang melayang ke udara.