Mata wang US dolar diancam penyusutan nilai dari awal minggu sejak majlis angkat sumpat Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47 di White House.
Situasi sama berterusan sehingga ke penghujung minggu sementara pelabur menantikan petunjuk lebih jelas pada rancangan tarif Trump yang bakal memberi impak besar ke atas pasaran global.
Trump pada Khamis semalam menyatakan kemahuan beliau untuk kadar faedah direndahkan lagi untuk meningkatkan lagi tarikan pelabur di AS.
Setelah bergerak mendatar di beberapa sesi sebelumnya, US dolar kembali bergerak lemah pada sesi New York semalam selain dipengaruhi oleh bacaan data tuntutan faedah pengangguran AS pada minggu lalu yang mencatatkan angka sedikit tinggi dari ramalan.
Pada Jumaat hari ini, tumpuan akan terarah kepada data PMI pembuatan dan perkhidmatan untuk Eropah dan AS untuk penilaian terhadap kesihatan ekonomi semasa.
Di sesi Asia, tumpuan terlebih dahulu terarah kepada keputusan mesyuarat polisi bank pusat Jepun (BOJ) yang dijangka akan menaikkan kadar faedah.
Jangkaan kenaikan sebanyak 25 mata asas kepada 0.50% daripada 0.25% yang dikekalkan sejak September, bakal memberi kesan pengukuhan terhadap nilai mata wang Yen.
Pada minggu hadapan pula, mesyuarat polisi Bank of Canada (BOC), European Central Bank (ECB) dan FOMC akan menjadi tumpuan seterusnya.