“Boleh jadi harga XRP naik sampai paras tu, tapi kena hati-hati juga.”
Harga mata wang kripto Ripple (XRP) yang berjaya menyaksikan pendakian berterusan sejak kebelakangan ini mungkin bakal melihat beberapa perkembangan positif pada November 2023 yang hampir tiba.
Sejak Disember 2020, pertempuran undang-undang antara XRP dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) telah berlaku apabila pengawal selia mendakwa aset digital itu melanggar undang-undang sekuriti, tetapi Hakim Analisa Torres pada tahun ini memutuskan XRP bukanlah sekuriti.
SEC semakin tertekan apabila rayuannya ditolak oleh Hakim Torres, oleh itu mereka buat keputusan menggugurkan dakwaan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Brad Garlinghouse dan co-founder Chris larsen pada Khamis lalu.
Rentetan itu, 9 November 2023 adalah tarikh penting perlu diperhatikan oleh para pelabur susulan pengawal selia ingin bertemu dan berunding dengan XRP, dan ini membawa makna ia akan menghasilkan penyelesaian tuntutan mahkamah.
Menurut statistik Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat (AS) dari 2011 hingga 2015, SEC mempunyai peluang 14.2% untuk menang dalam rayuan, tetapi penyokong XRP Bill Morgan berpandangan kejayaan pengawal selia dalam rayuan itu hanyalah 3%.
Mengambil kira keadaan tersebut, XRP berpotensi untuk melonjak tinggi pada bulan depan, di mana kini harga mencatatkan kenaikan sebanyak 5.82% pada paras $0.55 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $29 bilion.
Menerusi pemerhatian, XRP yang sudah melanggar zon rintangan $0.54 dijangka akan meneruskan kenaikannya sehingga $0.60, namun sekiranya gagal maka harganya mampu jatuh semula untuk menguji zon sokongan $0.50 atau $0.47.