“Tak jatuh banyak mana pun, mungkin pelabur rasa masalah Binance ni tak besar sangat kot.”
Harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) yang menyaksikan kejatuhan sehingga $35,643 pada 21 November 2023 akhirnya berjaya mendaki semula bagi memecahkan sekali lagi zon rintangan kuatnya pada $37,846.
Memang tidak dinafikan BTC berada dalam keadaan tidak menentu apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Binance Changpeng Zhao (CZ) mengaku bersalah, tetapi harganya pulih semula selepas para pelabur mengambil sedikit masa untuk menghadamnya.
Diperjelaskan lebih lanjut, seluruh pasaran kripto mula menyedari bahawa Binance tidak mempunyai sebarang pengeluaran dana besar-besaran seperti yang FTX lakukan apabila krisis kecairannya menjadi umum.
Rizab Binance dalam BTC hanya turun 17% daripada paras tertinggi sepanjang masa berbanding rizab FTX yang telah merudum 99.9% apabila bursa kripto itu menghadapi kejatuhan pada November 2022.
Selain itu, kenaikan harga BTC turut didorong oleh sesetengah penganalisis aset digital itu yang semakin percaya penyelesaian antara Binance dan Jabatan Kehakiman (DOJ) mampu menyebabkan spot BTC ETF diluluskan dalam masa terdekat ini.
Difahamkan bahawa kelulusan spot BTC ETF bukan sahaja boleh menjana $600 bilion permintaan baharu malah membawa pada peningkatan $1 trilion dalam modal pasaran BTC ditambah pula Galaxy Digital meramalkan harga BTC dapat naik 74% pada tahun pertama selepas pelancaran produk itu.
Antara sebab lain harga BTC mampu bangkit semula adalah susulan daripada pelabur institusi yang mula menggunakan dana pada kripto termasuk BTC sungguhpun sesetengah mungkin sedang menunggu peningkatan kecairan melalui ETF yang diluluskan.
Menerusi pemerhatian pada carta harga, BTC harus menembusi $37,856 terlebih dahulu untuk meneruskan kenaikan lebih tinggi tetapi jika berterusan gagal maka aset digital itu mampu tergelincir semula pada $35,936 diikuti $31,087.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 3.43% pada paras $37,378 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $730 bilion tetapi tetap mencatatkan penyusutan 1.05% sepanjang minggu lepas.