Menjadi tumpuan pada awal pagi ini, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) telah menerbitkan laporan minit bagi mesyuarat yang telah berlangsung pada awal November lalu.
Meneliti butiran minit, kadar faedah dilihat akan dikekalkan untuk menyokong objektif inflasi bank pusat sementara terus menilai kesan terhadap pergerakan ekonomi semasa.
Namun, ahli mesyuarat masih melihat ruang untuk pengetatan dasar lebih lanjut jika keadaan masih memerlukan.
Langkah penetapan dasar seterusnya akan ditentukan berdasarkan penilaian pada perkembangan data-data terbaru yang bakal hadir selepas ini.
Mata wang US dolar tidak menunjukkan penyusutan selepas minit diterbitkan, sebaliknya bergerak stabil dan sedikit kukuh berbanding beberapa mata wang utama seperti Euro dan dolar Australia.
Indeks dolar (DXY) yang jatuh mencecah sekitar 103.20 mata telah melantun semula ke paras 103.700.
Manakala, hasil perbendaharaan 10-tahun Amerika Syarikat (AS) kekal berlegar di sekitar 4.40%, zon terendah 2 bulan.
Mata wang Pound antara yang memaparkan prestasi baik semalam disokong oleh komen bernada hawkish oleh ahli mesyuarat bank pusat England (BOE).
Dolar Kanada paparkan pengukuhan di sesi New York semalam dengan reaksi pasaran tertumpu pada data inflasi diterbitkan.
Tepati jangkaan kadar inflasi bulanan Kanada untuk Oktober pulih kepada 0.1% berbanding penguncupan -0.1% pada bacaan sebelumnya.
Namun, bacaan inflasi tahunan adalah lebih rendah berbanding jangkaan iaitu 3.1% berbanding 3.2%. Angka ini juga menurun daripada paras inflasi sebelumnya pada 3.8%.
Perkembangan pasaran komoditi, kedua-dua minyak mentah WTI dan Brent papar pergerakan harga mendatar selepas lonjakan di awal minggu.
Manakala, dagangan emas terus cemerlang apabila harga telah melonjak mencapai paras sasaran pada $2,000 semalam.