Pergerakan pasaran masih tidak menentu pada pembukaan awal minggu ini dengan dagangan mata wang USD dolar dilihat lebih lemah berbanding penutup penghujung minggu lalu.
Data indeks pembuatan New York yang diterbitkan semalam dilihat berada di paras negatif, namun angka adalah sedikit baik berbanding ramalan.
Minggu ini pasaran akan berhati-hati sambil memerhati ucapan-ucapan oleh ahli-ahli Federal Reserve (Fed) sepanjang minggu dengan tumpuan utama terarah kepada Pengerusi Jerome Powell.
Petunjuk terbaru dinantikan pelabur setelah data pekerjaan dan inflasi Amerika Syarikat (AS) telah diberi tumpuan sebelum ini.
Di sesi Asia hari ini, data inflasi New Zealand telah diterbitkan dengan bacaan suku ketiga meningkat ke paras 1.8%, namun tidak mencapai jangkaan 1.9%.
Dolar New Zealand dilihat sedikit menyusut pada pembukaan sesi Asia pagi ini dengan reaksi awal terhadap data tersebut yang diterbitkan.
Laporan minit mesyuarat Reserve Bank of Australia (RBA) turut diteliti dengan jangkaan kadar faedah akan dikekalkan, namun bank pusat menyatakan bahawa tetap ada ruang untuk pengetatan dasar lebih lanjut jika keadaan memerlukan.
Dolar Australia meneruskan kenaikan pagi ini menyambung corak yang dipamerkan pada sesi sebelumnya.
Mata wang Eropah, Euro dan Pound berjaya akhiri dagangan sesi New York dengan corak peningkatan harga berbanding US dolar yang sedang melemah.
Yen bergerak agak mendatar di awal minggu sementara dolar Kanada sedikit baik berbanding US dolar dengan data inflasi Kanada akan dipantau di sesi New York malam nanti yang akan diterbitkan bersama data jualan runcit AS.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah perlahan berundur turun di awal minggu berbanding lonjakan yang telah dipamerkan pada Jumaat lalu.
Manakala, harga emas dalam pasaran pula menghentikan momentum lonjakan minggu lalu, namun masih berlegar di sekitar paras $1,920 per auns.