Pergerakan pasaran perlahan pada Khamis semalam dengan mata wang US dolar didagangkan bercampur-campur selepas data inflasi pengguna dan pengeluar Amerika Syarikat (AS) dihadam.
Data tuntutan faedah pengangguran AS diterbitkan pada sesi New York semalam catatkan angka yang meningkat mengatasi ramalan iaitu kepada 231,000 untuk minggu sebelum ini.
Pengukuhan US dolar yang dipaparkan sebelum ini juga dilihat terhad dengan risiko penyusutan masih lagi menjadi amaran kepada para pelabur.
Hasil perbendaharaan 10-tahun AS yang meningkat ke sekitar 4.55% sebelum ini juga telah kembali susut ke dasar 4.43%.
Manakala indeks dolar kekal berlegar perlahan di sekitar paras 104.00 mata.
Kekurangan data-data ekonomi tumpuan di penghujung minggu ini akan semakin mengundang risiko dalam pasaran.
Laporan data perumahan AS akan dipantau di sesi New York yang juga boleh memberi kesan pergerakan US dolar, namun berkemungkinan tidak begitu ketara.
Pergerakan harga sama ada perlahan mendatar atau mungkin juga volatile jika terdapat sebarang kejutan pada dagangan sesi-sesi akhir.
Meninjau perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah global semakin kritikal dengan kejatuhan kedua-dua penanda aras WTI dan Brent.
Minyak WTI AS menjunam lebih rendah hingga ke paras $72.30 setong, manakala minyak Brent UK jatuh hingga mencecah $76.70 setong.
Namun berbeza pula cerita dengan emas apabila harga semakin cemerlang catatkan peningkatan sehingga semalam.
Kenaikan harga emas sepanjang minggu ini telah pun mencapai hingga ke paras $1,987 dan menghampiri paras sasaran penganalisis iaitu pada $2,000.