Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak RM700 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan lepas (2020-2022) untuk tujuan mempromosi iklan dan publisiti.
Ulasnya lagi, kerajaan MADANI tidak akan menyediakan sebarang peruntukan tambahan bagi pelaksanaan kerja-kerja promosi dan publisiti sepanjang tahun 2023, berbanding kerajaan sebelum ini.
Beliau juga mengarahkan Kementerian Kewangan untuk mengehadkan peruntukan tidak melebihi RM100 juta bagi pelaksanaan publisiti pada tahun hadapan.
PM Anwar sempat mengkritik perbelanjaan yang telah dibelanjakan oleh YB Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan YB Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri kerana baginya terlalu tinggi dan melanggar tata kelola.
Perdana Menteri berkata demikian adalah untuk menjawab pertanyaan ahli parlimen Batu, P Prabakaran semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini (Selasa).
Prabakaran bertanya berkenaan jumlah keseluruhan yang telah dibelanjakan oleh kerajaan dalam tujuan promosi dan publisiti menerusi semua platform media massa.
Kerajaan tidak seharusnya menggunakan perbelanjaan yang melampau jika melibatkan pengiklanan dan publisiti, sebaiknya perlu turun padang bagi menyantuni masyarakat.