Tampak malang buat ‘king’ US dolar pada dagangan penutup minggu lalu apabila terus mengalami penyusutan lebih parah menyusuli corak pergerakan suram sepanjang minggu tersebut.
Sesi terakhir pada Jumaat lalu menunjukkan bacaan data sektor ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bercampur dengan bacaan PMI perkhidmatan adalah baik pada 50.8 mata berbanding ramalan 50.4 mata, sementara PMI pembuatan pula susut lebih rendah dari paras stabil 50 mata kepada 49.4.
Walaupun terdapat pemulihan perlahan buat US dolar minggu lalu, namun majoriti pasaran kekal menjangkakan prestasi lemah berterusan sehingga menuju ke mesyuarat FOMC terakhir pada Disember ini.
Pandangan pasaran ketika ini kekal cenderung untuk Federal Reserve (Fed) tidak menaikkan kadar faedah pada mesyuarat Disember dengan petunjuk-petunjuk terbaru akan terus dipantau.
Beberapa data penting ekonomi AS akan diperhatikan pula minggu ini termasuk pertumbuhan ekonomi suku ketiga, tinjauan keyakinan pengguna serta data perbelanjaan peribadi pengguna AS.
Indeks dolar (DXY) berlegar lemah di sekitar 103.40 mata manakala hasil perbendaharaan 10-tahun AS kembali meningkat ke paras 4.50%.
Mata wang utama lain dalam pasaran penghujung November ini dijangka akan mengikut rentak pergerakan US dolar yang masih tak menentu.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak kekal didagangkan tidak stabil dengan kejatuhan terbaru minyak WTI dilihat pada paras $75.20 setong manakala minyak Brent pula hampir di paras $80.00 setong.
Bagi peminat komoditi logam kuning pula, berita baik menyinari pasaran pada dagangan pembukaan awal minggu ini apabila harga emas yang mencapai paras $2,000 pada penutup minggu lalu dilihat melonjak lagi pada sesi Asia pagi ini.
Paras ketinggian terbaru emas dicatatkan sekitar $2,018 per auns yang merupakan rekod tertinggi sejak Mei lalu.