Berlaku pertukaran arah bagi pergerakan mata wang US dolar pada dagangan Rabu semalam dengan penurunan semula pada hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan data ekonomi yang bercampur.
Sebelumnya, hasil perbendaharaan 10 tahun AS mencapai paras ketinggian 4.88% yang kemudiannya berundur ke sekitar 4.73% dan turut dilaporkan pasaran bon alami penjualan besar-besaran.
Menjadi tumpuan di sesi New York semalam, data pekerjaan ADP AS telah diterbitkan dengan bacaan angka yang lebih rendah berbanding ramalan.
Pertambahan pekerjaan dalam sektor swasta di AS catat 89,000 untuk bulan September berbanding ramalan pada 154,000 sekaligus menjadi angka terendah sejak Januari 2021.
Ini akan menjadi petanda awal yang suram buat laporan data pekerjaan NFP pada Jumaat dan bakal mempengaruhi keputusan dasar monetari Federal Reserve (Fed).
Sementara data tinjauan ISM sektor perkhidmatan AS yang diterbitkan selepas itu catat bacaan di sekitar ramalan, di mana masih kekal di atas paras 50.0 mata.
Data tuntutan faedah pengangguran yang diterbitkan secara mingguan akan dipantau pula pada sesi New York hari ini.
Situasi penyusutan US dolar telah dimanfaatkan oleh beberapa mata wang utama yang kembali pulih sedikit daripada tekanan sebelum ini.
Mata wang Eropah, Euro dan Pound berjaya meningkat semula setelah jatuh ke paras terendah beberapa bulan, begitu juga mata wang Asia, dolar Australia dan dolar New Zealand.
Mata wang Yen masih didagangkan berwaspada dengan pasaran menantikan jawapan daripada Bank of Japan (BOJ) selepas berlaku pergerakan drastik harga pada Selasa lalu.
Dolar Kanada papar prestasi tercorot sehingga jatuh ke paras terendah sejak Mac berbanding US dolar berikutan terkesan oleh faktor kejatuhan harga minyak mentah global.
Dagangan emas pula stabil di sekitar $1,817 namun tetap gagal untuk meningkat melepasi paras $1,830 sejak Selasa lalu.