Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell kekal mengulangi ucapan seperti mesyuarat September lalu pada awal pagi Khamis semalam dan tidak memberi isyarat untuk kenaikan kadar faedah pada Disember.
Pasaran yang menilai kenyataan Powell sebagai ‘dovish’ dan menjangkakan bank pusat telah selesai melakukan kenaikan kadar, telah membuatkan mata wang US dolar didagangkan lemah.
Tambahah, data tuntutan faedah pengangguran Amerika Syarikat (AS) catat bacaan sedikit meningkat, namun adalah yang tertinggi dalam tempoh 7 minggu.
Penyusutan US dolar dilanjutkan dengan tumpuan pelabur kini sedang terarah kepada laporan data pekerjaan NFP AS untuk menilai sektor buruh pada bulan Oktober.
Ramalan pertambahan pekerjaan adalah lebih rendah sekitar 178,000 berbanding 336,000 yang dicatatkan pada September. Sementara, kadar pengangguran dijangka kekal pada 3.8%.
Turut akan diterbitkan bersama adalah laporan data pekerjaan Kanada yang akan pengaruhi pergerakan Loonie di sesi terakhir sebelum menyusul pula data tinjauan sektor perkhidmatan AS.
Menjadi acara tumpuan pada dagangan Khamis semalam adalah mesyuarat bank pusat England yang memberi impak terhadap pergerakan Pound.
Bank of England (BOE) mengekalkan kadar faedah tidak berubah di paras 5.25% seperti yang dijangkakan pasaran.
Nada disampaikan oleh Gabenor Andrew Bailey bernada ‘dovish’ apabila beliau berpandangan bank pusat tidak boleh mengekalkan dasar yang ketat terlalu lama.
Namun cabarannya adalah untuk mengimbangi antara risiko ke atas ekonomi dan juga inflasi yang masih berada di paras tinggi.
Mata wang utama lain dalam pasaran sedikit meningkat ketika US dolar sedang bergerak lemah di penghujung minggu ini.