Sentimen pasaran yang dinilai sedikit memulih telah membuatkan penurunan pada nilai US dolar berlaku sehingga ke sesi New York semalam.
Hasil perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS) kembali susut ke sekitar 4.65% sementara indeks dolar susut ke paras 105.70 mata.
Petunjuk bernada dovish yang baru dari Federal Reserve (Fed), Presiden Fed Atlanta Raphael Bostic melontarkan pandangan bahawa bank pusat tidak perlu untuk menaikkan kadar faedah lebih tinggi.
Beliau melihat polisi semasa sudah cukup ketat dan menjangkakan kemelesetan tidak akan berlaku walaupun kenaikan kadar faedah sebelum ini memperlahankan ekonomi dan menurunkan inflasi.
Tumpuan pasaran minggu ini akan terarah kepada terbitan data inflasi pengguna (CPI) yang akan diterbitkan pada esok Khamis, tapi perhatian awal akan diberikan terlebih dahulu kepada data inflasi pengeluar (PPI) AS malam ini.
Selain itu, pada awal pagi Khamis (jam 2 pagi waktu Malaysia), pasaran akan meneliti juga laporan minit mesyuarat FOMC yang akan diterbitkan.
Perkembangan mata wang utama, Euro dan Pound cemerlang papar peningkatan ke paras ketinggian terbaru minggu ini, sementara Aussie dan Kiwi masing-masing mengekalkan corak kenaikan untuk 5 hari berturut-turut.
Pasaran Wall Street ditutup dengan keuntungan pada Selasa sementara pasaran komoditi papar pergerakan bercampur.
Harga minyak mentah global mula mendatar, tidak teruskan kenaikan seperti lonjakan di awal minggu.
Harga emas turut didagangkan mendatar di sekitar paras harga $1,860 per auns sementara pelabur terus memantau perkembangan isu konflik perang di Timur Tengah.