Euro Jadi Tumpuan Utama Menjelang Persidangan Ekonomi EU

371

Ketegangan geopolitik yang meningkat dan kebimbangan bahawa gelombang kedua COVID-19 akan membantutkan pemulihan ekonomi telah mendorong US dolar untuk meraih keuntungan mingguan terbaiknya dalam satu bulan pada sesi dagangan hari ini.

US dolar yang didagangkan mendatar pada awal pembukaan sesi Eropah, telah meraih peningkatan sebanyak 0.3% berbanding sekumpulan matawang utama pada minggu ini, mempamerkan prestasi terbaiknya sejak pertengahan Mei.

Ketegangan antara China dan India kekal tinggi meskipun kedua-dua negara itu telah bersetuju untuk berusaha menghentikan pertikaian mereka di Himalaya barat.

Dalam pada itu, Presiden AS Donald Trump sekali lagi mengeluarkan ancamannya untuk memutuskan hubungan dengan China, sehari setelah rundingan peringkat tinggi pertama antara dua negara itu diadakan di Hawaii.

Turut menambah kekhuatiran terhadap ketegangan geopolitik adalah apabila Perdana Menteri Australia Scott Morrison menyatakan terdapat ancaman serangan siber yang berpotensi untuk melumpuhkan negara itu, di mana China mungkin disyaki menjadi dalangnya.

Dolar Aussie yang meraih kenaikan sebanyak 25% sejak paras terendah pada Mac, menokok sedikit selepas China dilaporkan sedang merancang untuk mempercepatkan pembelian barang pertanian AS dalam usaha memenuhi komitmennya dalam perjanjian fasa 1.

Perhatian pelabur kini beralih kepada persidangan ekonomi Kesatuan Eropah (EU), di mana para pemimpin blok itu akan membincangkan mengenai dana pemulihan bernilai €750 bilion yang dicadangkan oleh Jerman dan Perancis bulan lalu.

Euro didagangkan mendatar, setelah susut sekitar 1% berbanding US dolar sejak dagangan pada Selasa disebabkan keraguan mengenai sama ada rancangan itu dapat direalisasikan.

Sementara itu, dagangan pound kembali mencatat penurunan selepas meningkat sedikit berikutan data jualan runcit UK yang mempamerkan lonjakan pada Mei, namun hutang kerajaan direkodkan melebihi 100% dari KDNK negara.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat