Ketua penasihat kesihatan kerajaan Perancis, Jean-François Delfraissy menyatakan pada Isnin bahawa situasi coronavirus di negara itu semakin tidak terkawal dan mendakwa angka sebenar mungkin sekitar 100,000 kes setiap hari.
Sebanyak 52,010 kes baru coronavirus telah dilaporkan di Perancis dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikannya angka harian tertinggi pernah dicatatkan sejak penularan wabak ini bermula di negara itu.
Kadar positif juga meningkat dengan ketara hingga 17% dan mendakwa angka sebenar mungkin lebih tinggi daripada data yang ditunjukkan setakat ini kerana dibataskan oleh had keupayaan ujian Covid-19.
Sementara itu di Itali, kerajaan telah mengumumkan penutupan separa (partial lockdown) yang akan terus berkuatkuasa selama satu bulan, sehingga 24 November. Sepanyol pula meluluskan keadaan darurat dan mengumumkan perintah berukung dari 11.00 malam hingga 6.00 pagi untuk membendung penularan.
Walaupun sekatan terbaru ini kurang ketat daripada yang dilihat pada suku kedua, tetapi ia dijangka akan memberi kesan negatif kepada ekonomi Zon Eropah yang menghadapi tekanan deflasi.
Kebimbangan ini pastinya akan mendorong Bank Pusat Eropah (ECB) untuk meningkatkan rangsangan bagi mengurangkan impak terhadap ekonominya. Mesyuarat polisi ECB pada hari Khamis minggu ini, bakal menjadi tumpuan utama kepada para pelabur.
Menurut ramalan Goldman Sachs baru-baru ini, bank pusat berkemungkinan akan meningkatkan program pembelian bon sebanyak €400 bilion pada Disember.
Pada awal sesi Eropah, matawang euro diperdagangkan menyusut berikutan kebangkitan semula dagangan US dolar selain turut ditekan oleh kebimbangan terhadap impak gelombang kedua kepada ekonomi Eropah.