FBM KLCI Tawan Posisi Tinggi, Sentimen Global Beri Dorongan Positif

246

Bursa Malaysia meningkat pada Khamis didorong oleh sentimen optimis berikutan keputusan laporan pendapatan suku pertama Nvidia dan kadar tarif ke atas barangan China oleh Amerika Syarikat.

Tepat jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) meningkat 3.88 mata kepada 1,625.97 daripada 1,622.09 pada penutup Selasa.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup sempena cuti umum Hari Wesak pada Rabu.

Indeks barometer dibuka 1.42 mata lebih rendah pada 1,620.66.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 273 berbalas 189. Manakala, 358 kaunter tidak berubah, 1,569 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 288.40 juta unit saham yang bernilai RM137.15 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, peningkatan tinggi saham Nvidia di Amerika Syarikat dan tarif AS ke atas China sepatutnya memberikan sokongan belian yang lebih baik dalam pasaran saham terutamanya dalam sektor perkhidmatan pembuatan teknologi dan elektronik.

Sementara itu, sentimen pasaran keseluruhan di AS bertukar negatif selepas minit mesyuarat Federal Reserve (Fed) menunjukkan tekanan inflasi kekal berterusan dan pasaran menetapkan kemungkinan untuk Fed kekalkan pendirian hawkishnya dalam tempoh terdekat.

Pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Maybank menokok satu sen kepada RM10.00, Tenaga Nasional naik lapan sen kepada RM12.86, CIMB mengukuh enam sen kepada RM6.90, Public Bank tidak berubah pada RM4.19 dan Petronas Chemicals turun dua sen kepada RM7.01 .

Bagi saham aktif, Ingenieur dan Malayan United masing-masing tidak berubah pada tujuh sen dan enam sen, AHB Holdings susut setengah sen kepada 17.5 sen, Sin-Kung susut satu sen kepada 14 sen dan JCY International naik 2.5 sen kepada 41.5 sen.

Di papan indeks, indeks FBM EMAS memperluas 34.64 mata kepada 12,392.48, indeks FBMT 100 melebarkan 34.28 mata kepada 11,985.53, indeks FBM 70 FM meningkat 25.33 mata kepada 12,615.54.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 53.74 mata kepada 17,746.81, Indeks Perladangan meningkat 10.28 mata kepada 7,300.95 dan Indeks Tenaga meningkat sedikit sebanyak 0.43 mata kepada 994.22.

Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.17 mata kepada 196.50. – Bernama

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat