“Pelabur kena berhati-hati, takut tiba-tiba buat penurunan mengejut pula.”
Bursa mata wang kripto FTX pada hari Rabu akhirnya berjaya menerima kelulusan mahkamah untuk menjual pegangan aset digital mereka yang bernilai $3.4 bilion termasuk Bitcoin (BTC), Ethereum (ETH) dan Solana (SOL).
Terdahulu, FTX baru sahaja menerima persetujuan daripada Hakim Persekutuan untuk mencairkan pegangan kripto mereka.
Namun, perkembangan baharu tersebut mampu mendorong seluruh pasaran kripto menyaksikan penurunan secara besar-besaran susulan penjualan sedemikian akan membawa pada kecairan selanjutnya dalam aset digital.
Sejurus selepas pengumuman jualan FTX itu, SOL menyaksikan penurunan daripada $18.50 kepada $18 dalam masa beberapa minit sahaja tetapi harga aset digital tersebut pada awal pagi ini nampaknya bangkit semula.
Bukan itu sahaja, pemfailan terbaru daripada FTX turut menunjukkan bahawa portfolio mereka telah memegang Ripple (XRP), Wrapped Bitcoin (WBTC) dan Aptos (APT), oleh iu kecairan aset digital tersebut membawa makna bahawa FUD di kalangan pedagang boleh tercetus.
Bagaimanapun, harga SOL tetap dapat berdiri kukuh biarpun aset digital tersebut telah memegang majoriti dalam portfolio FTX.
Hal ini kerana SOL bernilai $1.2 bilion dalam FTX kebanyakannya staked dan tidak boleh dijual, ulas penganalisis kripto popular Michael van de Poppe sambil menambah bahawa perkara itu dapat menghalang harganya daripada mengalami penurunan drastik.
Setakat penulisan ini, harga SOL mendaki sebanyak 5.76% pada paras $19.12 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran bernilai $7 bilion tetapi tetap merekodkan penyusutan 2.46% sepanjang minggu lepas.