Gara-gara Powell, USD Kembali Tersungkur!

986

US dolar kembali melemah pada hari Isnin selepas kecundang menjelang penutupan dagangan minggu lalu susulan kenyataan dovish Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell.

Berucap di Persidangan Penyelidikan Thomas Laubach pada hari Jumaat, Powell mengatakan data terus menyokong pandangan jawatankuasa bahawa menurunkan inflasi akan mengambil masa.

Namun, beliau turut mengatakan memandangkan keadaan kredit semakin ketat, Fed mungkin tidak perlu menaikkan kadar faedah seperti yang sepatutnya untuk mencapai matlamatnya.

Ekoran daripada itu, ia kembali menguatkan jangkaan bahawa bank pusat itu mungkin tidak akan melakukan perubahan kadar faedah pada mesyuarat polisi bulan depan.

Hal ini sekali gus menolak kenyataan penggubal dasar Fed lain pada minggu lalu yang telah memberi kenyataan untuk tidak menghentikan kenaikan kadar disebabkan inflasi yang masih tinggi.

Pun begitu, pasaran akan tetap memberi tumpuan kepada terbitan laporan minit mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis.

Selain itu, rundingan mengenai isu siling hutang Amerika Syarikat kembali berada di jalan buntu, di mana Presiden Joe Biden mengatakan permintaan Republikan tidak dapat diterima.

Ini menyebabkan dolar greenback berundur dari paras tertinggi dua bulan yang dicapainya minggu lalu dan membantutkan pergerakan hasil bon AS 10 tahun.

Susulan itu, ia telah membantu untuk mata wang euro dan pound mencatat pemulihan setelah jatuh lebih rendah pada minggu lalu.

Penting buat kedua-dua mata wang itu minggu ini adalah penerbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan Eropah dan data inflasi UK.

Dalam pada itu, dolar Aussie dan New Zealand turut sedikit meningkat dengan tumpuan pelabur turut disasarkan kepada mesyuarat polisi Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) pada hari Rabu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat